KUALA LUMPUR — Tiga laporan polis Ta Jin Kiat memperincikan dakwaan bahawa beliau ditekan supaya menandatangani borang pindah milik saham ketika direman di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Mac 2025. Anak mendiang taikun Tan Sri Ta Kin Yan itu mendakwa dua adik tirinya, Ta Wee Dher dan Ta Shun Dher, dibawa menemuinya oleh seorang pegawai yang dipanggil “Tuan Wong”.
Persoalannya bukan sekadar sama ada tandatangan Ta terdapat pada borang tersebut. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana dokumen pindah milik saham boleh dibawa kepada seseorang yang sedang berada dalam tahanan, siapa membenarkan pertemuan itu, dan sama ada tandatangannya diberikan secara bebas.
Pendedahan tiga laporan polis ini menyusuli laporan The Corporate Secret sebelum ini mengenai perebutan saham syarikat keluarga Ta. Pertikaian tersebut kini turut menjadi subjek saman sivil yang difailkan Ta Jin Kiat.
Tiga laporan, satu dakwaan utama
Laporan pertama dibuat pada 7 Mei 2025 jam 10.53 pagi di Balai Polis Presint 7, Putrajaya. Dua laporan berikutnya dibuat pada 17 Disember 2025, masing-masing pada 5.26 petang dan 9.01 malam. Ketiga-tiganya mempunyai nombor laporan berbeza, tetapi berkisar pada dakwaan Ta bahawa tandatangannya pada dokumen saham diperoleh ketika beliau berada dalam tahanan SPRM.



Dalam laporan Mei, Ta menyebut seorang “Pegawai Kanan SPRM bernama Tuan Wong” yang didakwanya membawa Ta Wee Dher dan Ta Shun Dher masuk menemuinya. Ta mendakwa beliau ketika itu berada dalam keadaan tertekan kerana bimbang akan dipenjarakan dan lesen perniagaan dibatalkan.
Menurut Ta, “Tuan Wong” membawa sebuah sampul tebal lalu menyerahkannya kepada salah seorang adik tirinya. Ta mendakwa beliau ditekan supaya menandatangani dokumen atas alasan untuk menyelesaikan masalah keluarga. Kedua-dua adik tirinya, katanya, kemudian mengeluarkan borang pindah milik saham untuk ditandatangani.
Ta menyatakan beliau tidak mengetahui sepenuhnya borang itu melibatkan saham syarikat mana atau jumlah saham yang hendak dipindahkan. Beliau mendakwa tandatangannya diberikan dalam keadaan takut, tertekan dan tanpa peluang mendapatkan nasihat peguam.

Saman turut merekodkan dakwaan paksaan
Dakwaan itu tidak terhenti pada laporan polis. Dalam saman yang difailkan pada 13 Februari 2026, Ta Jin Kiat menuntut pemulangan saham yang telah dipindahkan kepada empat adik-beradik sebapanya.

Alasan penghakiman Mahkamah Tinggi bagi permohonan injunksi sementaranya merekodkan dakwaan Ta bahawa beliau menandatangani borang pindah milik saham pada 11 Mac 2025 ketika berada dalam tahanan SPRM, sama ada akibat tekanan dan paksaan atau kerana diperdaya oleh dua defendan pertama, Ta Wee Dher dan Ta Shun Dher.
Mahkamah turut merekodkan bahawa selepas dibebaskan, Ta menghantar notis kepada setiausaha syarikat dan menuntut sahamnya dikembalikan. Namun, pemindahan saham tetap dilaksanakan pada 24 Mac 2025. Ini menjadikan bantahan Ta selepas keluar daripada tahanan satu bahagian penting dalam kronologi pertikaian, bukan dakwaan yang hanya timbul selepas saman difailkan.
Pihak empat adik-beradik sebapanya memberikan versi yang berbeza. Menurut alasan penghakiman, mereka menyatakan saham berkenaan telah dijanjikan oleh mendiang bapa mereka dan dipegang Ta atas amanah bagi pihak mereka. Bagaimanapun, mahkamah merekodkan bahawa pihak tersebut mengakui wujud isu sebenar untuk dibicarakan. Pertikaian fakta mengenai keadaan borang ditandatangani dan kewujudan amanah itu memerlukan pemeriksaan dalam perbicaraan penuh.
Permohonan injunksi sementara Ta ditolak pada 7 Ogos 2026. Keputusan itu tidak bermaksud mahkamah telah memutuskan tandatangannya diberikan secara sukarela. Dakwaan paksaan atau diperdaya masih perlu diuji dalam saman utama.
Siapa dan apa peranan Pegawai SPRM ‘Tuan Wong’ ?
Laporan polis yang dibuat pada 17 Disember 2025 jam 9.01 malam memperincikan dakwaan Ta mengenai pertemuan tersebut. Beliau menyatakan “Tuan Wong” hadir bersama Ta Wee Dher dan Ta Shun Dher mendesaknya supaya menandatangani dokumen.
Selain itu permintaannya untuk bertemu peguam ditolak dan beliau diugut akan dipenjarakan jika enggan menandatangani dokumen itu.
Siapa sebenarnya ‘Tuan Wong’ yang didedah oleh Ta Jin Kiat?
Hanya satu Tuan Wong paling terkenal di SPRM iaitu Wong Yun Fui pegawai dikaitkan mempunyai hubungan dengan mafia korporat di SPRM bersama Tan Sri Azam Baki bekas KP SPRM.

The Corporate Secret sekian lama mendedahkan Mafia Korporat didalangi oleh Victor Chin Boon Long dibantu oleh Wong Yun Fui pegawai kanan SPRM dilabel sebagai “budak Azam Baki”. Sebelum dipindahkan bahagian Wong Yun Fui lah sempat mengatur permintaan Ta Wee Dher. Ta Shun Dher dan Puan Sri Lim Chai Yin isteri kedua mendiang Tan Sri Ta Kin Yan.
Apa perlunya Wong mengiringi adik-adik Ta Jin Kiat sebagai pelawat hadir dalam bilik tahanan? Membawa segala dokumen syarikat dan saham mencetuskan persoalan salahguna kuasa memberi kelebihan kepada satu pihak dalam perebutan harta keluarga.
Ta Wee Dher dan Ta Shun Dher perlu menjelaskan mengapa dokumen saham dibawa untuk ditandatangani pada waktu Ta berada dalam reman. Pihak SPRM pula perlu menjelaskan siapa yang membenarkan pertemuan itu, tujuan rasmi lawatan tersebut sehingga tidak memberi peluang Ta menghubungi peguamnya.
Laporan polis terhadap Wong Yun Fui bukan baru sebelum ini media juga melaporkan salah laku Wong Yun Fui namun mereka tetap kebal kerana dilindungi Azam Baki ketika itu. Wong Yun Fui pernah dilaporkan polis pada 2 Jun 2022 berhubung kes ugutan meminta wang daripada pengadu seorang cina bernama Chan Choon Lai untuk memindahkan wang RM1.7 juta.



Begitu banyak pemilik syarikat jadi mangsa Wong Yun Fui seperti Caely (Classita), Green Packet, MMAG Holding (Mjets), Cuscapi, Revenue Group, Hong Seng, Jetson, NexG (Datasonic) dan lain-lain lagi. Boleh dikatakan mana-mana syarikat senarai awam diheret ke SPRM didalangi Wong Yun Fui. Malah insiden kematian isteri Taikun Thomas Hah turut mendedahkan nama Wong Yu Fui!

Wong Yun Fui menerima rasuah daripada mafia korporat dan beberapa syarikat besar yang mengupahnya dengan bayaran rasuah sangat lumayan. Begitulah jahatnya Wong Yun Fui maka bukanlah menghairankan jika dia terlibat dalam kes perebutan harta mendiang Tan Sri Ta Kin Yan.
Datuk Seri Abdul Halim Aman KP SPRM sekarang menyedari kelicikan pegawai ini dengan mengarahkan beberapa pegawai ‘Budak Azam Baki’ dipindahkan ke bahagian lain termasuk Wong Yun Fui. Sekalipun Wong kini berada di Akademi Pencegahan Rasuah (MACA) namun Datuk Yuhafiz Timbalan Pengarah siasatan orang kanan kepercayaan Azam Baki masih ada menjalankan kerja-kerja tertangguh.

SPRM tidak wajar campur tangan urusan pertikaian harta keluarga
Pertikaian harta antara Ta Jin Kiat dan Ta Wee Dher ialah perebutan warisan keluarga yang wajar diputuskan oleh mahkamah. SPRM tidak patut dijadikan alat untuk menekan mana-mana pihak, lebih-lebih lagi apabila timbul dakwaan penglibatan pegawai yang sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi “mafia korporat” sewaktu pentadbiran Tan Sri Azam Baki. Dakwaan terhadap pegawai itu mesti disiasat secara bebas, bukannya dibiarkan menjejaskan keyakinan terhadap siasatan SPRM.
Ta Jin Kiat dan Dato’ Poh Po Lian, rakan niaga mendiang Tan Sri Ta Kin Yan, tidak wajar diburu atau dipaparkan di media seolah-olah mereka telah disabitkan melakukan jenayah. Kedudukan mereka sebagai pengarah dan pemegang saham, serta hak yang mereka tuntut, perlu dinilai melalui dokumen dan keterangan di mahkamah. Siasatan jenayah tidak boleh menggantikan proses tersebut.
Kepimpinan SPRM perlu menilai semula asas serta cara siasatan ini dijalankan. Jika tiada bukti kesalahan jenayah dalam bidang kuasanya, hentikan siasatan terhadap pertikaian warisan ini dan biarkan mahkamah menentukan hak setiap pihak.
Tiga laporan polis itu merekodkan aduan Ta Jin Kiat menjelaskan segalanya. Pada Julai lalu, Dato’ Poh Po Lian, pelaksana wasiat dan pemegang amanah harta pusaka mendiang Tan Sri Ta Kin Yan juga telah menjelaskan wasiat bertarikh 4 Februari 2008 menetapkan arahan yang jelas mengenai pentadbiran dan pembahagian harta mendiang. Menurutnya, kandungan wasiat tersebut tidak meninggalkan banyak ruang untuk tafsiran berbeza, walaupun pertikaian dalam keluarga masih berlanjutan. Mahkamah Tinggi telah memberikan geran probet kepada Poh pada 11 Mac 2026 untuk mentadbir harta pusaka berkenaan.

